Meskipun terdapat sejarah perseteruan di antara pemain perseorangan lelaki negara, Iskandar Zulkarnain Zainuddin, dan K. Srikanth, dia tetap memandang kepada bintang India itu sebagai contoh terbaik.

Tiga pertemuan di antara mereka, terutama dalam saingan Grand Prix Emas Malaysia 2016, menerbitkan sesuatu yang mengujakan dan berputiknya perseteruan di antara dua bakat muda berkenaan.

Sebelum Iskandar melangkah ke final Masters Malaysia edisi itu, dia dan Srikanth menghadirkan aksi epik dalam aksi separuh akhir.

Kisah turun naik menyusul buat dua pemain itu, Srikanth dengan siri kecederaan buku lali manakala Iskandar dihantui kecederaan belakang.

Tetapi pada 2017, Srikanth sudah membuktikan dia berada pada tahap yang berbeza apabila memenangi empat gelaran bertaraf Siri Super.

"Kecederaan amat mengecewakan kerana ia secara tidak langsung menggugat prestasi terbaik. Selepas Srikanth pulih daripada kecederaan, ia telah membantunya untuk terus meningkat naik," kata Iskandar.

"Jadi saya berharap dapat melakukan perkara yang sama," ujarnya.

Setidak-tidaknya Iskandar mengharapkan impak yang sama buat dia pada musim 2018 ketika perebutan untuk mewakili skuad negara, terutama dalam Piala Thomas, makin terbuka.

Status sebagai pemain senior tidak menjamin tiket Iskandar ke Bangkok, Thailand susulan peningkatan prestasi pemain muda seperti Lee Zii Jia dan Leong Jun Hao.

"Kami tidak mengetahui pemain mana yang bakal dipilih. Saya berharap dapat beraksi dalam saingan Piala Thomas.

"Terdapat beberapa kejohanan yang bakal saya sertai sebagai persiapan meningkatkan mutu persembahan," katanya lagi.