Spekulasi mengenai masa depan Datuk Lee Chong Wei menghampiri penghujungnya apabila bekas pemain nombor satu dunia itu berkemungkinan besar bakal mengumumkan persaraannya dalam satu sidang media khas, esok.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) petang tadi, badan induk itu mengumumkan sidang akhbar membabitkan masa depan perseorangan lelaki tersohor itu di Menara Kementerian Belia dan Sukan (KBS), tengah hari esok.

Turut dijangka hadir dalam sidang akhbar tersebut ialah Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, dan Presiden BAM, Datuk Seri Norza Zakaria.

Khabar angin pemenang 69 gelaran utama itu akan menggantung raket bertiup kencang susulan ketiadaan berpanjangannya di gelanggang latihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, kebelakangan ini.

Sekembali daripada rawatan kanser hidung, Chong Wei memulakan proses untuk kembali ke gelanggang kompetitif awal tahun ini.

Bagaimanapun, hasrat untuk menyegerakan proses tersebut menyaksikan dia tersisih daripada dua kejohanan penting, Seluruh England dan Terbuka Malaysia.

Ketiadaannya dalam senarai Piala Sudirman bulan lalu menawarkan petanda bahawa dia menghadapi kesukaran untuk mengembalikan prestasi sebenar.

Malah, kemahuannya untuk tampil dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020 disulitkan lagi dengan keistimewaan perlindungan ranking Persekutuan Badminton Dunia (BWF) bagi menyertai kejohanan bertaraf perdana akan luput pertengahan Ogos depan.

Kali terakhir dia tampil di gelanggang adalah pada Julai tahun lalu apabila mengungguli Terbuka Malaysia sebelum terkandas dalam separuh akhir Terbuka Indonesia.