Di sebalik persembahan sederhana beregu lelaki negara dalam Piala Thomas kali ini, jurulatihnya, Cheah Soon Kit, mempertahankan keputusan untuk mempertaruhkan kombinasi baru dan juga berpengalaman dalam kejohanan di Bangkok, Thailand itu.

"Tiada masalah," katanya. "Dalam kejohanan berpasukan seperti ini, kita perlu mengambil sedikit risiko.

"Permainan mereka kali ini boleh dikatakan memuaskan walaupun tewas. Saya rasa pemain beregu kita menunjukkan semangat perjuangan yang tinggi," katanya.

Diminta mengulas persembahan beregu berpengalaman, Goh V Shem dan Tan Wee Kiong, adakah ia persembahan terbaik daripada pasangan itu, Soon Kit berkata: "Mereka boleh berusaha lagi untuk memperbaiki permainan mereka.

"Kita akan membuat satu rancangan untuk masa depan, mungkin melibatkan pemain simpanan. Kita perlu melahirkan beregu masa depan," katanya.

Malaysia tersingkir daripada Piala Thomas selepas tewas 3-1 kepada Indonesia dalam suku akhir, kelmarin.