Ketua jurulatih beregu negara, Cheah Soon Kit, sudah mula jemu dengan prestasi tidak menentu gandingan utama negara, Goh V Shem dan Tan Wee Kiong, dan enggan lagi membuang masa, sebaliknya mahu fokus kepada pembentukan pasangan muda.

Ia susulan kekalahan gandingan utama negara ini dalam pusingan pertama Terbuka Indonesia kepada pasangan Denmark, Kim Astrup dan Anders Skaarup Rasmussen, 17-21, 21-19, 15-21.

Daripada fokus kepada V Shem dan Wee Kiong, Soon Kit kini mahu menggilap gandingan muda yang mempunyai potensi untuk menyinar, antaranya Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin Mohd Rumsani.

"Saya fikir kami sudah memulakan prosesnya. Sekarang ini, saya lebih fokus kepada pemain bawah 21 tahun.

"Kami perlu lebih meningkatkan lagi prestasi pasangan muda untuk mereka mengambil alih kedudukan itu (daripada V Shem dan Wee Kiong)," katanya.

Dalam pada itu, ketiadaan Chooi Kah Ming dalam sesi latihan menimbulkan pertanyaan.

Dikhabarkan Kah Ming sudah beberapa hari tidak hadir berlatih di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara.

Soon Kit enggan mengulas lanjut tentang perkara itu, sebaliknya menyerahkan kepada badan badminton negara untuk membuat kenyataan rasmi.

"BAM (Persatuan Badminton Malaysia) kini lebih fokus kepada pemain pelapis dan saya fikir dia memikirkan semula tentang kerjayanya di sini.

"Beberapa hari ini, dia tidak berada di sini. Jadi, kami perlu memutuskan perkara itu dalam mesyuarat C&T (Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan)," katanya lagi.