Soon Huat-Shevon Lai sedia galas tugas berat di Vietnam

Oleh Ammar Hakim 13 Februari 2017
Soon Huat-Shevon Lai sedia galas tugas berat di Vietnam

Jurulatih beregu campuran negara, Pang Cheh Chang, yakin gandingan Goh Soon Huat dan Shevon Lai Jemie mampu menggalas cabaran sebagai wakil tunggal beregu campuran negara dalam perlawanan pertama Kejohanan Badminton Campuran Asia menentang Sri Lanka, esok.

Tanpa disangka, selain pemain perseorangan, Iskandar Zulkarnain Zainuddin, yang mengalami kecederaan di bahagian belakang, pemain beregu campuran negara, Tan Kian Meng, turut dilanda kecederaan di lutut kiri pada saat akhir.

Kecederaan itu menyebabkan Kian Meng dan pasangannya, Lai Pei Jing terpaksa disisihkan daripada menyertai skuad negara dalam Kejohanan Badminton Campuran Asia di Vietnam.

Justeru, harapan dalam acara beregu campuran kini terletak kepada wakil tunggal negara, Soon Huat-Shevon Lai, untuk mengutip mata berharga dalam pertemuan dengan Sri Lanka esok.

"Sudah pasti tekanan terletak pada Soon Huat dan Shevon, saya yakin dengan pengalaman Soon Huat beraksi dalam Piala Thomas mampu membantunya menghadapi perlawanan nanti," kata Cheh Chang.

Dalam masa sama, Cheh Chang juga mempertahankan keputusan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang tidak menghantar pemain untuk menggantikan Kian Meng dan Pei Jing.

Tambahnya, pemain muda sedia ada masih belum mampu menggalas tugas sebegini, apatah lagi kebanyakkan pencabar seperti China, Indonesia dan Korea menurunkan nama-nama besar membarisi skuad mereka.

"Beregu campuran simpanan masih belum bersedia menghadapi perlawanan yang besar seperti ini, saya berharap kami mampu melahirkan keputusan yang positif dalam kejohanan kali ini."

Tentang Penulis

Ammar Hakim

Komen

Baca Selanjutnya

Purple League mula tuai hasil

By Public Anonymous User 13 Februari 2017. 9.50 AM