Pemain beregu campuran negara, Goh Soon Huat, tidak mahu penyertaan dia dan gandingannya, Shevon Lai, dalam Kejohanan Dunia di Nanjing, China, hujung Julai depan sekadar berakhir dalam pusingan awal.

Berdasarkan kedudukan ranking semasa, Soon Huat-Shevon berada di tangga kelapan dunia dan merupakan beregu campuran terbaik negara ketika ini.

Mereka mengatasi gandingan berpengalaman, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing, yang menduduki tangga ke-12.

Lantaran itu, harapan disandarkan kepada gandingan yang dibentuk dua tahun lalu itu untuk tampil lebih konsisten dalam kejohanan utama.

Setakat ini, hanya satu gelaran diraih oleh mereka, iaitu Terbuka Jerman, pada Mac lalu.

"Kami berada dalam kedudukan yang baik untuk menghadapi saingan Siri Super dan mara ke separuh akhir menjadi sasaran utama," kata Soon Huat.

Selepas hampir sebulan tiada pertandingan, tumpuan Soon Huat selepas ini adalah Terbuka Malaysia, penghujung Jun nanti. Ia disusuli dengan Terbuka Indonesia dan andai mampu menyerlah dalam dua pertandingan ini, pasti mereka dapat tampil dengan aksi lebih baik dalam Kejohanan Dunia.

Namun, jika gagal mencapai sasaran yang diletakkan, mereka berkemungkinan perlu beraksi dalam dua lagi kejohanan, iaitu Terbuka Thailand serta Singapura.

"Kami akan memberikan tumpuan dalam sesi latihan bagi mempertingkatkan mutu permainan sebelum menjalani beberapa aksi bagi mendapatkan keselesaan dalam gelanggang." tambahnya.