Menjelang pertembungan ketiga dengan pemain nombor satu dunia, Tai Tzu Ying, dalam Terbuka Malaysia, 26 Jun ini, pemain perseorangan wanita negara, Soniia Cheah, menegaskan tidak mustahil untuk menumbangkan ikon Taiwan itu.

Dua pertemuan sebelum ini menyaksikan Soniia tewas kepada Tzu Ying tetapi keputusan aksi kedua menawarkan kemungkinan untuk satu kejutan.

Dalam Kejohanan Masters Malaysia awal tahun ini, Soniia memaksa Tzu Ying mengerah keringat untuk memenanginya dengan keputusan 18-21, 21-12, 21-12.

"Saya menjangkakan saingan sengit dalam perlawanan ini, apa sahaja boleh berlaku. Saya akan memberikan yang terbaik," kata Soniia.

Soniia, yang baru sahaja menyambut ulang tahun kelahiran ke-25 semalam, teruja menantikan peluang menguji gelanggang di Axiata Arena.

Difahamkan, skuad negara berpeluang menguji persekitaran di venue Terbuka Malaysia yang bertaraf perdana itu seawal Sabtu ini.

"Kami akan membiasakan diri dengan venue kejohanan dengan sebaik mungkin. Saya mengakui sukar untuk mendapatkan aksi yang terbaik tetapi semua pemain akan beraksi di tempat yang sama."