Pemain perseorangan wanita terbaik Malaysia, Soniia Cheah, tidak luntur semangat di sebalik keperluan mendukung skuad itu sebagai wakil tunggal negara dalam Kejohanan Dunia.

Dua bulan kebelakangan ini, pemain berusia 26 tahun itu kehilangan sandaran rakan sepasukan, Goh Jin Wei, dalam kejohanan utama antarabangsa selepas bekas juara remaja dunia dua kali itu dibelenggu kecederaan.

Ironinya, penampilan terakhir Jin Wei adalah ketika dia tewas di tangan Soniia sewaktu pusingan pertama Terbuka Australia, awal Jun lalu.

Bagaimanapun, situasi itu memaksa Soniia untuk meningkatkan prestasi dengan penyertaan kejohanan pada bulan lalu dan yang terakhir layak ke suku akhr Terbuka Thailand awal bulan ini sebagai antara pencapaian terbaiknya musim ini.

"Saya harap keputusan sama atau lebih baik. Ini kerana kami tidak lagi beraksi di negara dalam Asia, jadi saya perlu menempuh penerbangan yang panjang serta faktor cuaca berbeza yang akan menjadi cabaran buat saya," katanya.

Dia akan memulakan kempen di Basel, Switzerland menentang wakil Hong Kong, Yip Pui Yin, hari ini yang bakal menjadi pertamuan pertama antara mereka.

Kelebihan dilihat milik Soniia berdasarkan kedudukan ranking semasa dengan dia berada di kedudukan ke-29 sementara lawannya di tangga ke-36.

"Saya berpandangan undian sendiri agak sukar kerana dalam pusingan pertama diundi berdepan Pui Yin, jadi saya perlu bersedia terlebih dahulu untuk menghadapi aksi tersebut."