Sekolah Menengah (SM) Lok Yuk, Kota Kinabalu mengungguli Kejohanan Badminton Remaja AirAsia-BAM 2017 peringkat negeri Sabah selepas menjuarai kategori lelaki dan perempuan berpasukan di Kompleks Sukan Likas, Kota Kinabalu, hari ini.

Pasukan lelaki sekolah berkenaan dinobat selaku juara selepas mengatasi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Keningau 3-0.

Neville Baptist Luaran mengutip mata pertama SM Lok Yuk selepas mudah menewaskan Mohamed Al Hafizi 21-15 dan 21-10 dalam masa 24 minit.

Kejayaan itu kemudian menyuntik semangat sekolah berkenaan yang mengutip mata kedua menerusi pasangan beregu Athur dan Jonathan J Jonioh yang menewaskan Philip dan Mohd Fayyed Yaakob 21-17, 21-18 dalam masa setengah jam.

Perseorangan kedua SM Lok Yuk, Ling Dai Hau kemudian mengesahkan kemenangan pasukan lelaki sekolah itu apabila mencatat kemenangan 21-18, 21-13 terhadap Vielson D Umbol dalam masa 25 minit.

Sementara itu, SMK Bandau dari Kota Marudu muncul pemenang tempat ketiga selepas menewaskan SMK Tamparuli dengan kedudukan 2-1.

Dalam saingan kategori perempuan pula, SM Lok Yuk berjaya muncul juara selepas menewaskan SMK Tamparuli 2-1.

Mata bagi SM Lok Yuk dikutip dua pemain perseorangan mereka iaitu Shannia Dedee dan Goh Shuen Tong.

Shannia menundukkan Cassey Rynn Rompog 21-9, 21-11 manakala Shuen Tong menewaskan Macnella Micheal 17-21, 21-13, 21-9 dalam satu pertarungan yang sengit.

Mata tunggal SMK Tamparuli pula dikutip pasangan beregu mereka, Asfarhani Jasnel dan Jessica Calvin yang menewaskan gandingan Elaine Wee dan Surraya Voo dengan kedudukan 21-14, 21-13.

Aksi penentuan tempat ketiga pula menyaksikan SMK Bandau menewaskan SMK Bukit Garam dengan kedudukan 2-0.

Hadiah-hadiah kepada pemenang disampaikan Presiden Persatuan Badminton Sabah (SBA), Janih Bangud dan Penyelia Sukan, Unit Sukan, Sektor Pembangunan Kemanusiaan, Jabatan Pelajaran Negeri Sabah, Pg Johari Pg Ahmad dengan disaksikan Timbalan Presiden SBA Tamin Zainal serta pengerusi penganjur, Golubi Guntarek.