Skuad badminton beregu lelaki negara tidak boleh meletakkan diri dalam tekanan tinggi bagi tempoh yang terlalu lama jika mahu mengelakkan diri daripada berputih mata ketika saingan Piala Thomas di Bangkok, Thailand pada Mei depan.

Undian yang dikeluarkan sebelum ini menyaksikan Malaysia bakal berdepan dua negara yang mempunyai gandingan beregu yang berkualiti, iaitu Denmark dan Russia.

Secara keseluruhan bersama barisan perseorangan, skuad beregu yakin tiket ke suku akhir berada dalam genggaman dengan menyasarkan kemenangan ke atas Russia dan Algeria.

Bagaimanapun, mereka sedar Russia yang diketuai bekas juara Seluruh England, gandingan Vladimir Ivanov dan Ivan Sozonov, memiliki kredibiliti tersendiri sementara Denmark yang menyingkirkan Malaysia dalam separuh akhir edisi 2016 memiliki tiga beregu dalam kelompok 11 terbaik dunia.

"Denmark sememangnya pasukan yang sangat kuat, terutama daripada segi pengalaman. Kami harus mempersiapkan diri untuk bertemu mereka.

"Berada dalam kejohanan besar, kekuatan mental amat diperlukan. Kami akan melakukan segala persiapan," ujar ketua jurulatih beregu negara, Cheah Soon Kit.

"Saya rasa sasaran ke suku akhir bukan satu masalah. Diharapkan kami meraih tuah ketika undian kelompok lapan terakhir.

"Mereka mungkin memiliki lebih pengalaman kerana pernah menjulang Piala Thomas sebelum ini. Ia juga boleh menjadi tekanan buat mereka kerana sasaran pastinya tinggi," kata pemain beregu negara, Goh V Shem.