Kehilangan Goh Liu Ying bagi baki musim 2017 menawarkan dilema buat skuad beregu campuran negara dalam meneruskan kesinambungan kejayaan program ini.

Ketiadaan Liu Ying menyaksikan pasangannya, Chan Peng Soon, digandingkan dengan pemain muda, Cheah Yee See, dan dikhabarkan akan turut diuji bersama seorang lagi bakat muda, Peck Yen Wei.

Jika gandingan Peng Soon dan salah seorang daripada dua pemain itu jmenghadirkan kejayaan di pentas antarabangsa, jurulatih pastinya berdepan masalah -- bagaimana untuk menentukan hala tuju Liu Ying apabila kembali ke gelanggang tahun depan.

"Perancangan jangka masa panjang, kami akan menghantar pemain-pemain muda bergandingan dengan Peng Soon manakala Liu Ying akan diturunkan dalam kejohanan-kejohanan penting kerana kecederaan mengehadkan penglibatannya dalam kejohanan yang berturut-turut," kata jurulatih beregu negara, Pang Cheh Chang.

Selain memikirkan masa depan Peng Soon dan Liu Ying, Cheh Chang dan seorang lagi jurulatih skuad ini, Chin Eei Hui, berdepan tugas berat mengekalkan prestasi Tan Kian Meng-Lai Pei Jing selaku harapan utama negara di samping meningkatkan keberkesanan gandingan meningkat naik, Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai.

"Ia merupakan sasaran utama kami untuk memastikan Kian Meng-Pei Jing berada di tahap terbaik buat masa ini."