Tahap kesihatan Datuk Lee Chong Wei yang sedang bergelut dengan kanser hidung mendapat perhatian dari seluruh pelosok dunia, termasuk pemain nombor satu dunia, Viktor Axelsen, di laman sosial.

Tidak terkecuali atlet-atlet daripada sukan lain yang turut memberi kata-kata semangat dan doa buat pemain berusia 36 tahun ini agar segera sembuh dan cekal mengharungi dugaan itu.

"Semoga cepat sembuh Chong Wei. Saya berharap rawatan anda berjalan dengan lancar," kata Axelsen, menerusi laman instagram.

"Kepada Chong Wei, saya berharap anda semakin pulih setiap hari. Saya berharap segalanya positif sepanjang proses rawatan," kata Taufik Hidayat, menerusi laman Instagram.

Jurulatih perseorangan lelaki, Indra Wijaya juga menganggap situasi yang dihadapi Chong Wei paling memberi kesan kepada dirinya sepanjang berkecimpung dalam arena badminton.

Apatah lagi, Chong Wei merupakan atlet yang paling berdisiplin dalam menjaga kesihatan diri dan berita sebegitu cukup mengejutkan semua pihak.

"Semua pihak terkejut dengan berita ini. Tiada siapa yang menyangka Chong Wei mengalami masalah kesihatan ini," kata Indra.

"Skuad perseorangan agak terkesan dengan ketiadaan Chong Wei. Kami berharap dia segera pulih dan perkara yang paling penting adalah kesihatannya," kata jurulatih perseorangan lelaki negara, Sairul Amar Ayub.