Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengumumkan​ pemain beregu wanita, Toh Ee Wei, terpaksa mengambil keputusan bersara awal kerana mengalami masalah sinus kronik dan perlu berehat daripada arena badminton.

Setiausaha Agung Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Ng Chin Chai, berkata Ee Wei yang bergandingan dengan Pearly Tan perlu memberikan tumpuan kepada kesihatannya dan kini dalam proses pemulihan selepas menjalani pembedahan hidung baru-baru ini.

“Satu kehilangan besar untuk BAM. Ee Wei merupakan pemain muda yang bagus dan berada dalam prestasi yang baik, namun kami menghormati keputusannya.

"Sekiranya dia sudah pulih, BAM sentiasa menyokongnya untuk kembali ke gelanggang,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T) di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, hari ini.

Pencapaian cemerlang Ee Wei-Pearly ialah apabila muncul naib juara Kejohanan Remaja Dunia di Markham, Kanada tahun lalu.

Chin Chai yang juga Pengerusi C&T berkata selain Ee Wei, pemain lain yang turut bersara adalah pemain beregu lelaki, Tan Wee Gieen, Shia Chun Kang dan seorang lagi pemain beregu wanita, Eng Sin Jou.

Ketua jurulatih beregu wanita, Rosman Razak, berkata buat sementara waktu, Pearly akan digandingkan dengan pemain muda, Yap Ling, bagi menghadapi Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Asia atau turut dikenali sebagai Piala Tong Yun Kai di Hong Kong, 19 hingga 24 Mac ini.

Rosman berkata pihaknya turut menilai pemain muda yang lain seperti Anna Cheong dan Lim Chiew Sien dalam beberapa kejohanan tahun ini untuk mencari gandingan tetap Pearly.

“Gandingan Pearly dan Yap Ling bukan gandingan kekal. Saya akan menilai semua pemain muda di bawah kendalian saya untuk mencari pengganti Ee Wei. Saya berharap pemain muda dalam beregu wanita dapat mempamerkan prestasi yang cemerlang,” katanya.

-- BERNAMA