Jurulatih perseorangan wanita negara, Datuk Tey Seu Bock, mengakui Goh Jin Wei bakal berdepan halangan sukar untuk mendapatkan sentuhan terbaik, namun kekal optimis dengan keazaman yang dimiliki pemain sandaran negara itu.

Pemain berusia 19 tahun itu terpaksa diketepikan daripada kontinjen Sukan SEA negara apabila bakal menjalani pembedahan kerana mengalami masalah usus besar, sekali gus tidak akan membuat penampilan dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Seu Bock, bagaimanapun, menjelaskan dia telah memberikan ruang untuk Jin Wei membuat keputusan dalam menangani masalah yang dihadapi dan pembedahan merupakan jalan terbaik.

"Saya memberikan peluang kepada Jin Wei untuk membuat keputusan sebelum ini mengenai masalah yang dihadapi. Jin Wei telah mengambil ubat, namun ia tidak dapat memulihkan dirinya dan pembedahan adalah jalan terbaik," kata Seu Bock.

"Jin Wei akan berdepan saat sukar selepas dia pulih sepenuhnya daripada masalah kesihatan yang dialami untuk mendapatkan sentuhan terbaik. Tetapi kami akan memberikan masa kepadanya dan yakin dengan kemampuannya."

Sementara itu, Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Norza Zakaria, menjelaskan badan induk itu serta Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) telah berusaha untuk mencari jalan penyelesaian terbaik dan sentiasa memberikan sokongan kepada Jin Wei.

"BAM telah memberikan sokongan kepada Jin Wei sejak enam bulan lalu. Selepas Seu Bock memberitahu apa yang dialami Jin Wei, kami berusaha sebaik mungkin untuk membantu menyelesaikan apa yang diharungi Jin Wei. Kami tidak mahu memperjudikan kesihatannya dan melihat kepada jangka masa panjang. Saya berharap dia akan segera pulih dan kembali ke gelanggang," ujarnya.

Dengan ketiadaan Jin Wei dalam usaha mempertahankan pingat emas yang dimenangi dua tahun lalu, sandaran kini diletakkan di bahu Soniia Cheah di Manila serta berusaha melengkapkan misi peribadinya untuk tampil dalam saingan Sukan Olimpik Tokyo 2020.

"Saya berasa sedih terhadap apa yang perlu ditempuhi Jin Wei ketika ini. Kesihatan adalah perkara yang sangat penting dan berharap dia segera pulih.

"Sukan Olimpik Tokyo 2020 merupakan sasaran saya dan ia menjadi keutamaan saya buat masa ini dan saya berusaha untuk berada di tahap terbaik. Saya mahu bergelar Olimpian negara dan mahu mengharumkan nama keluarga dan negara."

Kronologi kesakitan dialami Jin Wei

Mei 2019: Jin Wei nyatakan tidak selesa di bahagian perut.

4 Jun 2019: Tewas pusingan pertama Terbuka Australia.

20 Jun 2019: Dikhabarkan alami masalah perut yang kronik dan diberi pelepasan daripada berlatih.

20 September 2019: Jin Wei ditemui dalam sidang media serta optimis pertahan emas Sukan SEA dan bakal lakukan pembedahan.

8 Oktober 2019: Norza sahkan Jin Wei akan lakukan pembedahan usus besar dan perlu berehat.