Ketua jurulatih perseorangan badminton wanita negara, Datuk Tey Seu Bock, berharap Datuk Lee Chong Wei dapat menikmati masa bersama keluarga dan meluahkan rasa bangga terhadap kejayaan anak buahnya itu selama 19 tahun berkhidmat buat Malaysia.

Seu Bock merupakan antara individu yang disebut Chong Wei sebagai pengaruh besar dalam hidupnya.

Meskipun berkongsi kesedihan rakyat Malaysia yang akan merindui aksi Chong Wei di dalam gelanggang, Seu Bock tenang dengan masa depan di mana anak buahnya itu dapat menikmati hasil keringat sepanjang 19 tahun beraksi.

"Saya gembira kerana selama ini, dia berasa tertekan. Bebannya terlalu banyak. Jadi, sekarang dia terlepas daripada beban itu. Apa yang penting adalah kesihatannya. Saya rasa ia pilihan terbaik," katanya.

"Bukan mudah untuk seorang pemain dan ikon sepertinya untuk umumkan persaraan."

Sementara itu, Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann, menganggap persaraan Chong Wei sebagai satu kehilangan besar.

Namun, bekas pemain kebangsaan itu menghargai usaha jaguh negara tersebut yang meluahkan hasrat untuk membantu barisan pemain muda dan menyifatkannya sebagai semangat serta cinta kepada badminton tidak akan pudar.

"Chong Wei mungkin akan datang ke gelanggang sesekali sekiranya dia berasa mampu memberi pertolongan kepada skuad negara dan saya rasa itu menunjukkan tanda ambil beratnya terhadap pemain muda," ujar Choong Hann.

Dalam masa sama, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail, menghormati keputusan yang telah dibuat oleh Chong Wei, malah menganggap kesihatannya perlu diutamakan.

Bagaimanapun, dia berharap atlet lain dapat mencontohi sikap terpuji Chong Wei dan dijadikan sebagai inspirasi dalam memajukan sukan negara.

Shapawi optimis BAM mampu melahirkan ramai pelapis yang dapat mengikut jejak langkah jaguh perseorangan lelaki negara itu.

"Dia seorang atlet yang rendah diri. Kalau nak suarakan apa-apa, dia akan lakukannya dengan cara berhemah dan mengamalkan sikap terpuji dalam menyelesaikan sebarang masalah melibatkan program latihan dan sebagainya.

"Memang ini satu kehilangan buat negara tetapi bagi saya, ia tidak sebesar jika boleh dirumuskan dengan penghargaan tertinggi buat Chong Wei di atas jasa-jasa dan sumbangan kepada dunia sukan negara," katanya.