Ketua jurulatih badminton perseorangan wanita, Datuk Tey Seu Bock, menganggap suasana di gelanggang latihan ketika ini sudah tidak sama seperti biasa tanpa kelibat bintang nombor satu Malaysia, Datuk Lee Chong Wei, tatkala ketiadaannya begitu dirasai seluruh kem kebangsaan.

Seu Bock percaya skuad perseorangan lelaki paling terkesan dengan situasi ketika ini untuk mereka membiasakan diri menjalani latihan tanpa rakan sepelatih seperti Chong Wei yang disahkan menghidap kanser hidung.

Namun, dia tidak menolak kem perseorangan wanita dan beregu kebangsaan turut berasa janggal dengan ketiadaan pemain nombor satu negara itu sambil menyifatkan suasana kian suram di gelanggang latihan.

Ternyata pengaruh dan aura yang ada dalam diri pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 itu begitu kuat dan memberi kesan kepada seluruh pemain untuk menerima kenyataan mengenai tahap kesihatannya.

"Ramai pemain tidak biasa kerana sebelum ini, Chong Wei sering ada ketika sesi latihan. Jeritan dan sorakannya sentiasa memenuhi kem latihan negara.

"Buat masa ini, memang sedikit sunyi. Jika dia ada, pemain-pemain di barisan perseorangan negara mungkin lebih bersemangat. Ia diibaratkan mereka kehilangan abang," kata Seu Bock.

Seu Bock yang pernah mengendalikan kem perseorangan lelaki sebelum ini menyifatkan Chong Wei sebagai individu yang mempunyai semangat cukup luar biasa bagi mengharungi detik sukar selepas melihat sendiri keadaannya di Taiwan, dua minggu lalu.

"Setakat ini, selepas saya menemui Chong Wei, segalanya tampak baik. Susuk tubuhnya memang susut tetapi semangatnya tetap ada.

"Sudah tentu dia berasa letih ekoran proses pemulihan yang dilalui dan mungkin agak bosan di sana. Seorang atlet pasti berasa tidak selesa apabila terlalu lama berehat."