Seu Bock: Jin Wei harus bersedia tangani cabaran baru

Oleh Staff Writer 19 November 2018 1215
Seu Bock: Jin Wei harus bersedia tangani cabaran baru
Pemain badminton wanita negara, Goh Jin Wei, membuktikan mengapa dia bergelar bintang luar biasa apabila memenangi gelaran remaja dunia buat kali kedua.

Kini, tiba waktu untuknya memastikan potensi sama diterjemah ke pentas senior pula.

Kali pertama dia memenangi gelaran itu ketika berusia 15 tahun dan Jin Wei masih mencari kematangan sebagai seorang pemain.

Kempen di Markham, Kanada itu juga merupakan yang terakhir buatnya di pentas remaja.

Kini, Jin Wei boleh fokus sepenuhnya kepada kerjaya di pentas senior untuk berada dalam kalangan pemain elit dalam usaha mengikut jejak langkah jaguh seperti pemain Thailand, Ratchanok Intanon, dan Nozomi Okuhara dari Jepun yang menjadi juara dunia di peringkat remaja dan senior.

"Jin Wei perlu lupakan zaman remajanya dan mula fokus di pentas senior kerana corak permainan agak berbeza. Dia perlu lebih banyak bertahan, fizikal dan mental kena kuat, jadi proses itu telah saya terapkan buatnya.

"Dia memiliki kualiti tetapi buat masa ini, saya tidak nafikan agak sukar buatnya kerana ranking 10 terbaik dunia mempunyai tahap lebih tinggi dan ketara,” kata ketua jurulatih perseorangan wanita negara, Datuk Tey Seu Bock.

Seu Bock juga berasakan kejayaan memenangi gelaran kedua itu lebih istimewa buat anak buahnya.

Jin Wei tewas kepada  pilihan pertama kejohanan, Wang Zhiyi, dalam aksi berpasukan campuran sebelum bangkit menewaskan pemain China itu dalam separuh akhir.

Final menyaksikan Jin Wei tidak dicabar pemain Denmark, Line Christopherson, sebelum menang 21-13, 21-11.
 
"Sudah tentu jika dilihat di atas kertas, Jin Wei lebih bagus tetapi bagaimana untuk menangani tekanan itu pastinya bukan mudah. Semua orang menjangka dia muncul juara tetapi setakat ini, dia menjalankan tugas dengan baik, sama seperti saingan Olimpik remaja," tambah Seu Bock.
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen