Kejayaan Lee Zii Jia menamatkan kemarau kejuaraan perseorangan lelaki dalam ketiadaan Datuk Lee Chong Wei merupakan satu pencapaian luar biasa tetapi untuk memikul ketiadaan pemain nombor satu negara itu memerlukan kudrat lebih daripada seorang pemain.

Ketika badminton Malaysia dilanda krisis, Chong Wei merupakan individu yang berupaya menanggung beban mengangkat nama negara dalam kejohanan utama.

Ini realiti yang dihadapi perseorangan muda negara seperti Zii Jia yang mengetahui betapa istimewanya Chong Wei.

Dia serta keseluruhan skuad perseorangan akur bahawa sumbangan kejayaan perlu hadir daripada setiap seorang daripada mereka untuk menjulang badminton Malaysia seperti dilakukan Chong Wei berseorangan.

"Saya berasakan setiap pemain dalam pasukan perlu menampilkan persembahan terbaik dan mengambil tanggungjawab setiap kali turun menyertai kejohanan utama," kata Zii Jia.

Zii Jia dalam pada itu terkilan tidak dapat menjenguk Chong Wei dalam laluan memenangi Terbuka Taiwan.

Difahamkan, ketika menjalani rawatan kanser di negara itu, Chong Wei turut menolak kunjungan daripada barisan pelawat ternama.

"Saya tidak sempat untuk bertemu Chong Wei di Taiwan tetapi mengikuti perkembangannya. Saya berharap dia segera pulih dan kembali ke gelanggang."