Jurulatih perseorangan negara, Hendrawan, menganggap semangat membara Datuk Lee Chong Wei mengatasi segalanya apabila jaguh perseorangan itu meraih gelaran Seluruh England buat kali keempat, malam tadi.

Penampilan Chong Wei dalam kejohanan itu pada mulanya mencetuskan tanda tanya selepas dia mengalami kecederaan lutut kiri.

"Dengan keadaan Chong Wei yang baru pulih daripada kecederaan dan masa pun sangat singkat, saya melihat dia ada semangat," katanya. "Dari awal, dia menunjukkan keinginan.

"Saya tengok gaya pergerakannya masih belum 100 peratus. Selepas ini, saya akan berbincang dengan jurulatih, (Tey Seu) Bock, Chong Wei sendiri dan (ahli fisioterapi) Sandra (Fiedler) untuk menilai kakinya supaya dia benar-benar dapat pulih100 peratus."

Dalam pada itu, Hendrawan turut mengakui China kini semakin ke hadapan dengan kejayaan Shi Yuqi mara ke final.

Yuqi menjadi pemain China ketiga ditentang Chong Wei di pentas final, selepas kejayaan menewaskan Lin Dan pada 2011 serta Chen Long pada edisi 2014. Sebelum itu, Chong Wei menewaskan pemain Jepun, Kenichi Tago, pada 2010.

"Ini adalah satu kerja rumah juga buat kami untuk mempersiapkan pemain muda. Memang kami boleh berbangga dengan kemenangan Chong Wei tapi kami juga harus tengok lawannya, sama tahap dengan Soong Joo Ven dan Soo Teck Zhi."

Dalam perlawanan akhir malam tadi,Chong Wei mudah menewaskan pemain China, Shi Yuqi, 21-12, 21-10, dalam tempoh 45 minit.