Perseorangan badminton profesional negara, Zulfadli Zulkiffli, sudah mengetahui nasibnya sebelum berdepan lawan dari China yang juga penyandang juara, Lin Dan, dalam perlawanan pusingan pertama Seluruh England, awal pagi tadi.

Biarpun diiringi sorakan bersemangat penyokong Malaysia, pemain itu jelas gagal untuk memberikan tentangan sengit buat Lin Dan.

Keputusan akhir 21-11, 21-12 menjadi bukti bahawa terdapat jurang yang luas di antara kedua-dua pemain berkenaan.

Lin Dan tenang menangkis segala asakan dan menjarakkan kedudukan sementara Zulfadli buntu untuk mencari kelemahan lawannya itu.

"Saya tahu memang saya jangkakan, seperti di atas kertas, Lin Dan adalah pilihan," katanya.

"Dia lebih baik daripada saya. Dia atlet terbaik. Sebenarnya, saya bermain bukan 100 peratus dan tidak memberi tekanan sangat sebab baru pulih daripada kecederaan hamstring."

Selepas mengucapkan selamat tinggal kepada Seluruh England, Zulfadli akan beraksi dalam Terbuka Switzerland, 14 Mac ini.

Tetapi dia masih belum dapat memberikan kata putus mengenai penyertaan dalam kejohanan itu memandangkan kecederaan hamstringnya masih belum pulih sepenuhnya.

"Sepatutnya saya akan ke Switzerland. Kalau dalam beberapa hari ini kecederaan hamstring saya belum pulih sepenuhnya, mungkin saya akan menarik diri."

Zulfadli mengalami kecederaan itu ketika beraksi dalam Kejohanan Badminton Kebangsaan di Ulu Kinta, Perak, bulan lalu.