Pemain beregu campuran, Chen Tang Jie, berasakan waktu berguru bersama pemain senior bukan sahaja untuk belajar tetapi sebagai platform menyaingi mereka menjelang pertandingan penting musim ini seperti Kejohanan Badminton Seluruh England.

Tang Jie, yang diserap ke dalam skuad kebangsaan pada November 2017, menghampiri impian seumur hidupnya.

Berdasarkan kemas kini Persekutuan Badminton Dunia (BWF), dia layak beraksi dalam Seluruh England buat julung kalinya bersama gandingannya, Peck Yen Wei.

Ini bermakna secara keseluruhannya, Malaysia akan memiliki empat wakil di Birmingham nanti, termasuk gandingan profesional, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying.

"Ini kali pertama saya akan menyertai kejohanan utama.

"Saya hargai peluang yang diberikan jurulatih dan saya akan cuba berikan aksi terbaik.

"Setiap negara akan menurunkan taruhan terbaik bagi merebut slot Sukan Olimpik 2020, oleh itu kejohanan seperti Siri Super dan Grand Prix Emas akan menjadi tumpuan.

"Masih banyak aspek yang perlu saya perbaiki," kata Tang Jie.

Melengkapkan penglibatan Malaysia dalam Seluruh England bermula 6 Mac depan adalah Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie dan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing.

Demi mencabar pasangan beregu senior, Tang Jie bertekad mencurah segala komitmen ketika latihan.

"Kami sentiasa mencabar mereka.

"Memandangkan mereka adalah pemain senior, sudah tentu pengalaman mereka lebih luas.

"Masih banyak yang kami perlu belajar daripada mereka tetapi dalam masa yang sama, kami perlu memberikan saingan kepada mereka," tambahnya.