Pemain beregu campuran, Shevon Lai Jemie, masih tidak mempercayai kejayaan merangkul kejuaraan Terbuka Jerman minggu lalu bersama pasangannya, Goh Soon Huat, yang bakal dijadikan pembakar semangat untuk sekali lagi cuba mencipta kejutan dalam Kejohanan Seluruh England.

"Selepas memungut mata akhir pun, saya masih tidak percaya telah memenangi kejohanan itu.

"Kami menyertai kejohanan itu dengan harapan untuk mengharunginya dengan baik. Saya tidak meletakkan harapan yang tinggi," ujarnya.

Sudah semestinya Shevon tidak boleh lagi diulit mimpi indah kejayaan di Jerman itu kerana akan berdepan lawan lebih sukar dalam pusingan pertama Seluruh England.

Kejohanan yang menghimpunkan 32 pemain terbaik dunia itu menghadirkan cabaran berbeza buat Shevon dan Soon Huat.

Beregu campuran nombor satu England, Chris dan Gabriele Adcock, pilihan ketujuh kejohanan dan juga pasangan suami isteri, menjadi penentu dalam mencorakkan laluan Shevon-Soon Huat dalam aksi pertama mereka.

"Kejayaan ini melonjakkan keyakinan kami.

"Kami sememangnya tidak menjangkakan akan menang di Jerman memandangkan tidak mendapat undian mudah.

"Kami juga tidak mendapat laluan mudah dalam Seluruh England. Kami akan bertemu Chris Adcock-Gabrielle Adcock," katanya.