Kontroversi peraturan servis baru yang diperkenalkan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) dalam Terbuka Jerman minggu lalu diteruskan dalam Kejohanan Seluruh England yang membuatkan pemain bertaraf dunia terhimpit dalam memastikan margin kesilapan adalah sifar.

Peraturan servis baru menyaksikan pemain perlu cepat menyesuaikan diri dengan ketinggian pukulan servis yang dibenarkan peraturan baru itu.

Syaratnya ialah bulu tangkis perlu dipukul pada ketinggian 1.15 meter.

Bagaimanapun, ia menimbulkan sedikit kekeliruan kerana ada tafsiran berbeza pukulan sama ada ia membabitkan kedudukan bulu tangkis yang dipukul ataupun kedudukan raket yang perlu berada pada ketinggian yang ditetapkan.

Bagi beberapa pemain negara, ada yang masih belum dapat menyesuaikan diri dan mudah kehilangan mata kepada kesilapan servis.

"Ketika beraksi dalam Terbuka Jerman, ia memberi sedikit kesan kerana masih belum membiasakan diri sehingga saya bergelut.

"Selepas itu, dalam perlawanan kedua, barulah saya dapat membiasakan diri dan tiada masalah buat masa ini," kata pemain beregu campuran, Shevon Lai Jemie.

Jurulatih beregu campuran negara, Chin Ee Hui, mengakui tidak banyak boleh dilakukan pemain melainkan dengan segera membiasakan diri dengan pukulan itu.

"Hanya Lai Pei Jing dan Tan Kian Meng yang belum dapat menguasainya.

"Saya harap mereka dapat menyesuaikan diri dengan segera," kata Eei Hui.

Masalah pemain negara menyesuaikan diri dengan peraturan servis baru ini turut mendapat perhatian Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Norza Zakaria.

"Sementara peraturan ini belum dikuatkuasakan, kami menganggap semua pemain akan berhadapan dengan perkara yang sama.

"Pemain perlu fokus dan tidak terganggu dengan bunyi-bunyi bising," kata Norza.