Beregu campuran negara, Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying, mencipta kejutan apabila mara ke perlawanan akhir Kejohanan Seluruh England selepas mudah menundukkan Yuta Watanabe dan Arisa Higashino, 21-17, 21-15, awal pagi tadi.

Ia adalah pertemuan kali kedua di antara Peng Soon dan Liu Ying menentang gandingan Jepun itu di pentas antarabangsa.

Pasangan negara mempamerkan aksi mantap untuk mengutip mata demi mata sebelum menamatkan set pertama dengan kemenangan 21-17.

Semakin selesa dengan corak permainan, mereka terus menunjukkan keyakinan di dalam gelanggang untuk menewaskan pasangan itu 21-15 untuk menempah slot ke perlawanan akhir Seluruh England tahun ini.

"Saya sangat gembira dan teruja kerana ini kali pertama kami masuk final Seluruh England," kata Peng Soon.

"Terlalu gembira, saya tidak boleh jelaskan perasaan itu. Saya rasa ini (kami) adalah beregu campuran pertama negara yang mara ke final Seluruh England. Saya sangat-sangat gembira," kata Liu Ying.

Terdahulu, pemain perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei, gah mengesahkan slot ke saingan akhir selepas menundukkan pemain dari Taiwan, Chou Tien Chen, 10-21, 21-14, 21-9.