Pemain perseorangan negara, Lee Zii Jia, menyifatkan peluangnya melakukan penampilan dalam Kejohanan Seluruh England, Mac ini, sebagai cerah.

Ini selepas Zii Jia diklasifikasikan sebagai simpanan kedua sebelum kemas kini undian penyertaan pemain di Birmingham pada 12 Februari ini.

Sebelum itu, dia dijadualkan untuk beraksi dalam Terbuka Jerman yang akan membuka tirai 25 Februari ini.

"Sasaran saya adalah beraksi dalam Seluruh England buat pertama kali. Ia merupakan pengalaman yang diimpikan setiap pemain badminton," kata Zii Jia.

Tiga penampilan suku akhir dalam tiga kejohanan 2019 menawarkan petanda positif buat Zii Jia.

Ini termasuk menewaskan dua pemain dalam kelompok 10 terbaik dalam Masters Malaysia dan Indonesia.

Tetapi Zii Jia menegaskan ukuran sebenar adalah untuk memastikan dia ke separuh akhir dan seterusnya final dalam kejohanan mendatang.

"Saya berharap dapat mengekalkan momentum dan mahu melepasi pusingan suku akhir dalam kejohanan akan datang."