Seluruh England: Kegagalan Malaysia tuntut pemain muda segera didedahkan

Oleh Staff Writer 18 Mac 2018 446
Seluruh England: Kegagalan Malaysia tuntut pemain muda segera didedahkan
Tersingkirnya pemain negara dalam pusingan suku akhir Kejohanan Seluruh England kali ini menyaksikan skuad badminton negara gagal mengulangi pencapaian lalu dengan membawa pulang sekurangnya-kurangnya satu kejayaan.

Ia menunjukkan Malaysia masih kekurangan pemain berkaliber selain kebergantungan kepada pemain senior untuk mengharapkan kejayaan.

Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Norza Zakaria, tidak berpuas hati dengan persembahan yang dipamerkan pemain-pemain negara dalam kejohanan kali ini.

"Secara keseluruhan, saya kurang berpuas hati dengan keputusan pemain-pemain negara. Malaysia hanya menghantar dua wakil ke suku akhir tetapi gagal melayakkan ke perlawanan akhir seperti yang dilakukan pada edisi tahun lalu," katanya.

Di peringkat suku akhir semalam, Datuk Lee Chong Wei tewas kepada seteru tradisinya, Lin Dan, 16-21, 17-21 manakala beregu lelaki, Goh V Shem-Tan Wee Kiong, tunduk kepada pasangan Denmark, Mathias Boe-Carsten Mogensen, 20-22, 11-21.

Norza turut menegaskan barisan jurulatih perlu melihat kepada pilihan-pilihan yang lebih luas dalam usaha untuk menghasilkan beregu yang mampu memberikan cabaran beraksi di pentas antarabangsa dan tidak terlalu bergantung kepada pemain sedia ada.

"Barisan jurulatih harus menilai semula perancangan mereka dengan tidak meletakkan sandaran terhadap pemain-pemain sedia ada, sebaliknya  melihat kepada pilihan bagi menghasilkan gandingan yang berkualiti," tambahnya.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen