Jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei, sekali lagi akan dituntut untuk beraksi pada tahap tertinggi apabila turun menentang musuh ketatnya, Lin Dan, dalam suku akhir Kejohanan Seluruh England di Birmingham yang pasti mendebarkan, awal pagi nanti.

Tidak banyak yang perlu diperkatakan mengenai perseteruan di antara Chong Wei dan Lin Din. Kedua-dua pemain sudah bertemu sebanyak 39 kali, dengan Lin Dan meraih 27 kemenangan.

Malah, pertemuan terakhir dua musuh utama itu ialah dalam Kejohanan Badminton Asia (ABC) 2017 dengan kemenangan berpihak kepada Lin Dan.

Kali terakhir Chong Wei merakamkan kemenangan ke atas lawan dari China itu ialah dalam separuh akhir Sukan Olimpik Rio 2016.

"Hari demi hari, pertarungan akan bertambah sengit.

"Bukan rakyat Malaysia sahaja, malah satu dunia ingin melihat saya lawan Lin Dan.

"Saya perlu bersedia untuk menghadapi aksi sukar ini dan cuba memberikan yang terbaik sambil menikmati pertarungan itu nanti.

"Tidak kira prestasi siapa yang lebih bagus ketika ini, tengoklah siapa yang akan bermain lebih baik nanti," kata Chong Wei.

Dengan Lin Dan tampak konsisten setakat ini berbanding Chong Wei yang bergelut dalam pusingan kedua, sudah pasti kelebihan menjurus kepada pemain China itu nanti.

Begitupun, Chong Wei sudah bersedia untuk memastikan dia tidak berputih mata buat sekian kalinya.

"Yang penting adalah kemahuan.

"Sebaik turun ke gelanggang, saya akan melupakan kepenatan dan melakukan yang terbaik demi Jalur Gemilang," katanya lagi.

Sementara itu, Goh V Shem-Tan Wee Kiong, pula akan berdepan beregu berpengalaman Denmark yang juga pilihan kedua kejohanan, Mathias Boe-Carsten Mogensen.

"Kami pernah menentang mereka banyak kali, mereka adalah beregu yang berpengalaman.

"Saya harap kami benar-benar bersedia, " kata Wee Kiong.

Rekod pertemuan mereka terikat 2-2, namun beregu Malaysia itu menundukkan lawan mereka dalam dua pertembungan terakhir.

"Kami sedar mereka mampu mengembalikan servis dengan bagus, kami perlu bersedia untuk itu," ujar V Shem yang mara ke suku akhir edisi lalu.