Kurang agresif serta terperangkap dengan taktikal menyerang lawan menyaksikan pemain perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei, tewas kepada seteru utama, Lin Dan dari China, dalam suku akhir Kejohanan Seluruh England, semalam.

Ia sekali gus menyaksikan Chong Wei gagal dalam usaha meraih kejuaraan Seluruh England buat kali kelima.

Malah, ia bukannya pertarungan klasik yang diharapkan peminat di Arena Birmingham, sebaliknya lebih menjadi perlawanan penuh berhati-hati, terutama pada permulaan permainan.

Chong Wei cuba menggunakan taktikal dengan permainan rali tetapi jaguh China itu lebih menggunakan corak menyerang dengan pukulan smash kencang yang memerangkap pergerakan lawannya.

Jelas sekali Lin Dan lebih agresif dengan memaksa Chong Wei mengikut rentak permainannya yang akhirnya memberikan kemenangan 21-16, 21-17 kepada pemain China itu dalam tempoh 52 minit.

"Lin Dan sering memberikan kesukaran di atas gelanggang dan menyukarkan untuk saya mempamerkan pukulan yang baik," kata Chong Wei.

Bagi Lin Dan, kemenangan itu dicapai dengan menggunakan corak taktikal yang berkesan hingga berjaya membuatkan Chong Wei berputih mata.

"Chong Wei bermain bagus hari ini tetapi saya berjaya untuk beraksi lebih agresif serta lebih banyak menyerang untuk mendapatkan mata. Saya juga tidak fikir yang Chong Wei bermain terlalu bertahan," kata Lin Dan.

Kemenangan itu menyaksikan Lin Dan melebarkan rekod kemenangan ke atas Chong Wei kepada 28 kemenangan berbanding hanya 12 kekalahan.