Kempen Malaysia dalam Kejohanan Seluruh England berakhir dengan kekalahan dua wakil utama, iaitu perseorangan lelaki negara, Datuk Lee Chong Wei, serta beregu lelaki, Goh V Shem-Tan Wee Kiong, kepada lawan masing-masing dalam saingan suku akhir, semalam.

Harapan untuk menyaksikan Chong Wei mempertahankan kejuaraan Seluruh England serta merangkul mahkota kelima tidak kesampaian apabila tewas kepada musuh tradisi, Lin Dan dari China, 21-16, 21-17 dalam tempoh 52 minit.

Lin Dan lebih agresif dengan permainan menyerang manakala Chong Wei pula lebih banyak bertahan dan gagal menyaingi kepantasan dan pukulan tajam pemain China itu.

Dalam set pertama, Chong Wei mendahului 16-14 tetapi kemudian terkunci pada angka itu, dengan Lin Dan mengutip mata demi mata sebelum menamatkan set itu 21-16.

Set kedua menyaksikan skrip sama berulang hingga kedudukan 13-13 sebelum Lin Dan menjarakkan diri dan memenangi perlawanan 21-17.

"Saya telah cuba yang terbaik dan Lin Dan kurang melakukan kesilapan dalam perlawanan ini," kata Chong Wei.

V Shem-Wee Kiong juga gagal meneruskan kemaraan selepas kecundang 20-22, 11-21 kepada pasangan Denmark dan pilihan kedua kejohanan, Mathias Boe-Carsten Mogensen.

Berpeluang memenangi set pertama, pasangan Malaysia itu gagal menggunakan peluang dan tewas tipis 22-20. Bersambung dalam set seterusnya, V Shem-Wee Kiong tidak terdaya menyaingi Boe-Mogensen apabila kalah 21-11.

"Daripada awal permainan, mereka bermain dengan cemerlang dan kami telah cuba menggunakan strategi yang berbeza, tetapi ia tetap tidak berhasil," kata V Shem.

Pencapaian pemain negara dalam Kejohanan Seluruh England:

SUKU AKHIR

• Datuk Lee Chong Wei (Perseorangan lelaki)
• Goh V Shem-Tan Wee Kiong (Beregu lelaki)

Pusingan kedua

• Goh Jin Wei (Perseorangan wanita)
• Ong Yew Sing-Teo Ee Yi (Beregu lelaki)
• Chan Peng Soon-Goh Liu Ying (Beregu campuran)

Pusingan pertama

• Soniia Cheah (Perseorangan wanita)
• Tan Kian Meng-Lai Pei Jing (Beregu Campuran)
• Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie (Beregu Campuran)