Pemain perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei, menegur sebilangan pemain perseorangan lelaki dalam kem negara kerana mudah berasa selesa meskipun tidak mempamerkan aksi yang memberangsangkan di pentas antarabangsa.

Teguran itu jelas membuktikan Malaysia masih lagi ketandusan bakat baru dalam acara perseorangan.

Selain Chong Wei, tiga pemain muda, Soo Teck Zhi, Chong Yee Han dan Cheam Jun Wei semuanya tewas dalam pusingan awal Terbuka Malaysia kali ini.

Dua daripada mereka, Teck Zhi dan Yee Han, juga berada dalam skuad projek khas dan tidak menunjukkan persembahan yang bagus meskipun diberikan segala kemudahan dan modul latihan terbaik untuk membentuk mereka menjadi pemain sebagus Chong Wei.

"Sebelum ini, pemain perlu berada dalam kelompok enam terbaik baru diberikan peluang untuk bertanding dalam kejohanan antarabangsa.

"Tetapi kini disebabkan pemain semakin berkurangan, kalah atau menang, mereka tetap akan dihantar beraksi di luar negara. Itu satu senario yang cukup berbeza.

"Jurulatih telah berikan segalanya tetapi bergantung kepada pemain untuk meningkatkan prestasi mereka," jelas Chong Wei.

Pemain no.1 dunia itu turut mendedahkan senario dalam kem negara ketika ini amat berlainan kerana tidak wujud persaingan sengit antara mereka.

Kemahuan yang tidak tinggi menjadi keterbatasan untuk barisan muda masih di takuk lama, sedang lawan dari negara lain makin maju ke hadapan untuk mencabar kejuaraan di peringkat antarabangsa.

"Segalanya bergantung kepada pemain perseorangan.

"Apa yang patut dikatakan sudah pun diutarakan. Peluang juga sudah diberi tetapi di kemudian hari, pemain sendiri yang perlu mengambil inisiatif," tambahnya.