Ketua jurulatih badminton perseorangan lelaki negara, Datuk Misbun Sidek, tidak mahu terburu-buru walaupun Datuk Lee Chong Wei tersingkir awal daripada Kejohanan Siri Super Terbuka Perancis, semalam.

Chong Wei tewas di tangan pemain yang menyertai kejohanan melalui tiket kelayakan, Kenta Nishimoto dari Jepun 21-14,21-15 dalam aksi selama 37 minit.

Bagaimanapun, Misbun enggan menekan butang panik sambil menyifatkan masih ada ruang buat pemain nombor satu negara itu memperbetulkan segala kesilapan, terutama ketika berdepan lawan lebih muda, sekiranya dia sendiri mahu mengubah situasi tersebut.

"Dia harus mengkaji semula apa sebenarnya yang berlaku kepada dirinya. Chong Wei harus faham bahawa setiap lawan pasti akan cuba mendalami cara permainannya.

"Sejak daripada Chen Long (pemain China) lagi, permainannya sudah mula dibaca, jadi Chong Wei harus cuba mengatasi apa yang mengganggu fikirannya kerana ia masih boleh diperbaiki," kata Misbun.

Dalam masa sama, Misbun yakin Chong Wei akan terus berusaha gigih untuk kembali ke prestasi terbaik kerana bagi jurulatih berusia 57 tahun itu, Chong Wei bukan seorang atlet yang cepat mengalah.

"Chong Wei pernah bergelar raja Siri Super, jadi dia tidak boleh berputus asa," ujarnya.