Pemain perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei, menyifatkan kejuaraan Seluruh England sebagai satu permulaan yang baik buatnya selepas berehat panjang.

Menuju ke kejohanan itu, Chong Wei mengalami kecederaan serius di samping terpalit dengan isu ketegangan hubungan dengan Pengarah Teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Morten Frost.

Bagaimanapun, kejuaraan kali keempat di Birmingham itu -- menyamai rekod mendiang Datuk Eddie Chong -- bagaikan satu mesej lantang daripada pemain berusia 34 tahun itu.

"Sebelum hadir dalam Seluruh England, saya tidak menyasarkan kejuaraan, sebaliknya fokus untuk menang satu demi satu perlawanan," katanya.

"Saya sangat gembira dengan persembahan saya. Sebaik kembali pulih daripada kecederaan, saya dapat merangkul kejuaraan dan pada masa sama membuktikan saya masih mampu beraksi di pentas tertinggi."

Pemain nombor satu dunia itu mahu menjadikan kejayaan tersebut sebagai azimat untuk memburu gelaran Kejohanan Dunia di Glasgow, Ogos nanti selain berniat untuk kembali ke England tahun depan bagi mempertahankan kejuaraannya.

"Saya tidak pernah kata tidak mahu kembali ke Birmingham, saya akan kembali tahun depan bagi mempertahankan kejuaran ini buat kali terakhir.

"Kejayaan ini juga akan meningkatkan lagi keyakinan dan semangat saya untuk menghadapi saingan tahun ini," tambahnya.

Dalam perlawanan akhir malam tadi, Chong Wei mudah menewaskan pemain China, Shi Yuqi, 21-12, 21-10, dalam tempoh 45 minit.

Kemenangan itu juga membolehkan Chong Wei melebarkan penguasaan ke atas Yuqi kepada tiga kemenangan selepas mengecewakan pemain terbabit dalam Terbuka Kanada 2015 dan Terbuka Jepun 2016.

Chong Wei sudah tiga kali menjuarai Seluruh England sebelumnya pada 2010, 2011 dan 2014.