Barisan senior perseorangan lelaki negara mula mengubah perwatakan hanya seminggu selepas Datuk Misbun Sidek memulakan tugas sebagai ketua jurulatih.

Ia perkembanagn positif di samping keperluan Misbun mempersiapkan Datuk Lee Chong Wei bagi menghadapi Kejohanan Dunia di Glasgow, Scotland, bulan depan.

Cerita dalam kem negara menerbitkan perubahan memberangsangkan apabila pemain senior seperti Iskandar Zulkarnain Zainuddin dan Chong Yee Han mengambil inisiatif memulakan pemantapan fizikal seawal jam 5 pagi.

Malah, pemain dalam skuad ini ada kemahuan menyesuaikan diri dengan latihan keras Misbun memandangkan jurulatih itu menerangkan setiap perubahan diterapkan daripada program sedia ada.

Jika momentum ini diteruskan, Misbun berasakan tidak mustahil untuk pemain yang berstatus juara kebangsaan dan bekas jaguh pentas remaja untuk akhirnya memenuhi potensi mereka.

"Saya mahu mulakan latihan seawalnya, kalau katakan jam 5 pagi, saya pun tidak sabar sebenarnya. Saya tidak boleh tidur memikirkan mereka ini. Banyak sangat perkara yang harus ditingkatkan.

"Oleh kerana dewan latihan pun buka jam 6.30, jadi waktu itu saya masuk dan mulakan latihan. Daripada situ, mereka lebih awal tidur kerana kecergasan lebih penting pada esok pagi.

"Kalau saya tidak buat macam ini, mereka akan rasa tidak diperhatikan. Itu lebih penting bagi saya," kata Misbun.

Sementara itu, Misbun turut berkongsi perincian persiapan Chong Wei yang kini lebih kepada mengekalkan tumpuan tanpa sebarang aksi kompetitif sehingga kempen di Glasgow nanti.

"Selama ini, dia banyak masuk final, jadi saya tidak memberikan banyak tekanan kepada sasaran ataupun kemenangan.

"Pada saya, kemenangan satu pusingan ke satu pusingan penting tetapi kemenangan yang utama bagi saya adalah kemenangan dalam latihan," tambahnya.