Pemain beregu lelaki negara, Mohamad Arif Abdul Latif, mengambil pengalaman sebaik-baiknya dalam Piala Thomas untuk fokus dua kejohanan seterusnya, iaitu Terbuka Russia dan Sepanyol pada Julai dan Ogos ini.

Ia satu pengalaman baru untuk Arif yang kali pertama beraksi dalam kejohanan berprestij itu bagi acara beregu dan cabaran paling utama adalah digandingkan dengan Teo Ee Yi.

Namun, kemenangan yang berjaya diraih mereka sewaktu berdepan beregu dari Algeria masih belum cukup memuaskan Arif, selain bertekad ingin mengakhiri Terbuka Russia dan Sepanyol bersama gandingannya, Nur Mohd Azriyn Ayub.

Apa yang penting, pengalaman di pentas Piala Thomas cukup bermakna untuknya memperbaiki aksi dan terus konsisten dalam kejohanan antarabangsa.

"Selepas ini, saya akan berlatih semula dengan Azriyn. Kami akan bergandingan lagi untuk beberapa kejohanan seterusnya sehingga akhir tahun ini. Saya berharap kami dapat mengekalkan momentum kami," kata Arif.

Skuad badminton lelaki negara tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA 2) dari Bangkok, kelmarin.

Tiada rehat panjang untuk pasukan negara apabila akan kembali memulakan latihan esok.

"Di sana (Bangkok) saya dapat belajar lebih lagi. Saya dapat tengok bagaimana pemain di ranking lebih tinggi bermain dan gaya permainan mereka. Di sana saya banyak belajar," katanya lagi.