Bekas perseorangan kebangsaan, Chong Wei Feng, mahu melihat Datuk Lee Chong Wei dan Pengarah Teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Morten Frost, berdamai memandangkan mereka dua individu penting dalam badminton negara.

Wei Feng menegaskan ini bukan kali pertama ketegangan berlaku di antara bekas seniornya, Chong Wei, dan Frost sejak jurulatih kelahiran Denmark itu memulakan tugas bersama BAM pada Mac 2015.

"Sebagai orang luar, saya hanya boleh lihat dan tidak boleh memberi komen panjang.

"Saya tahu mengenai perkara ini sudah lama, mungkin Datuk (Lee Chong Wei) sudah tidak boleh tahan," katanya.

Pemenang pingat emas Sukan SEA Singapura 2015 ini berpandangan Frost memiliki perwatakan tersendiri yang mungkin sukar diterima segelintir pihak.

Wei Feng dalam nada bersahaja hanya boleh mendoakan yang terbaik sebagai orang luar sambil berasakan ini bukan kali terakhir bekas senior itu akan berlaga kepala dengan Frost.

"Bukan tegas tetapi dia ada pemikirannya endiri yang mungkin tidak 'ngam' dengan pemikiran Chong Wei.

"Pada saya, satu syarikat tidak boleh ada dua bos. Saya tidak rasa perkara ini akan berakhir," tambahnya.