Sasaran suku akhir tetap realistik

Oleh Staff Writer 23 Mac 2018 521
Sasaran suku akhir tetap realistik
Usaha skuad badminton lelaki dan wanita negara untuk menempatkan diri dalam kelompok lapan terbaik Piala Thomas dan Uber  tidak goyah walaupun masing-masing menerima nasib berbeza dalam undian peringkat kumpulan yang dilakukan semalam.

Selain cabaran daripada juara bertahan, Denmark, dalam Kumpulan C, skuad Piala Thomas negara turut diundi bersama Russia dan Algeria.

Jika prestasi semasa menjadi ukuran, Malaysia tampak berupaya menang ke atas dua pasukan itu bagi memastikan tiket ke suku akhir dan keyakinan itu dilaungkan oleh pemain nombor satu negara, Datuk Lee Chong Wei.

"Kerjasama dalam pasukan sangat penting. Jika dibandingkan dengan Kumpulan A dan B, kami jelas memiliki undian yang lebih baik. 

"Apa yang penting, pemain-pemain perlu kekal fokus dan melakukan persiapan rapi sebelum turun beraksi," kata Chong Wei.

Bagi skuad Piala Uber, mereka disifatkan berada dalam kumpulan maut selepas diundi bersama China, Indonesia dan Perancis.

Tatkala China sukar untuk digugat, pemain perseorangan negara, Soniia Cheah, berasakan kemenangan ke atas Perancis menjadi satu kewajipan bagi meraih tonik untuk berdepan Indonesia.

"Sudah tentu saya masih yakin kami mampu melangkah ke suku akhir kerana ketika Sukan SEA 2017, kami bertemu Indonesia dalam separuh akhir. 

"Selagi kami mampu bermain dengan cara sendiri, kami akan melepasi halangan mereka," ujar Soniia.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen