Pemain Kedah, Sandro da Silva, menganggap kemunculan pertamanya menyarung lilitan lengan kapten begitu manis tatkala berjaya menyumbang gol pembukaan dalam kemenangan 2-0 ke atas Kelantan saingan Piala Malaysia di Alor Setar, malam tadi.

Penghargaan diberikan tugasan selaku kapten pasukan begitu berharga buat pemain import Brazil itu.

Bukan sekadar memimpin pasukan di atas padang, malah pemain berusia 33 tahun itu turut menyumbang gol pertama pada minit ke-23.

Mengesahkan kemaraan ke suku akhir bertemu Selangor, Sandro yakin ia akan menjadi aksi yang sukar bagi kedua-dua pasukan, apatah lagi ia mengulangi final Piala Malaysia tahun lalu.

"Perlawanan selepas ini berdepan Selangor sudah tentu menjanjikan aksi sengit. Musim lalu, kami dipertemukan dalam final tetapi kali ini hanya satu pasukan yang akan mendapat tiket ke separuh akhir dan seterusnya final.

"Jadi, saya harap setiap pemain meneruskan momentum sama dan menang seterusnya mara ke final," kata Sandro.

Sementara itu jurulatih Kedah, Nidzam Adzha Yusof, ternyata tenang dengan kemenangan yang dijangka.

Bagaimanapun, peluang yang diberikan kepada barisan muda masih gagal memikat hatinya tatkala tujuh pemain senior dan empat pemain import kekal cemerlang selepas sebulan tanpa aksi kompetitif.

"Kalau dilihat daripada prestasi malam ini, saya rasa pemain muda perlu lebih masa untuk menggalas tanggungjawab dalam aksi lebih tinggi," jelas Nidzam.