Roy King bawa dua misi ke Russia

Oleh Staff Writer 23 September 2019
Roy King bawa dua misi ke Russia
Pemain badminton remaja, Yap Roy King, membawa misi serampang dua mata dalam penampilan terakhirnya dalam Kejohanan Remaja Dunia di Kazan, Russia, bulan depan.

Bukan sahaja pulang dengan meraih pingat, namun dia cuba untuk meyakinkan barisan kejurulatihan senior untuk menyerapnya ke skuad utama.

Roy King bakal beraksi dalam dua acara, iaitu beregu lelaki bersama Ooi Jhy Dar dan juga beregu campuran bergandingan dengan Gan Jing Err.

Ia jauh berbeza dengan penampilannya di Markham, Kanada tahun lalu apabila ketua jurulatih, Kwan Yoke Meng, meletakkannya beraksi dalam acara perseorangan lelaki, namun terkandas seawal pusingan pertama.

Bersandarkan tiga gelaran yang diraihnya tahun in,i iaitu dalam Cabaran Antarabangsa Malaysia dan India, Roy King yakin misi meraih pingat mampu dicapai. 

"Saya rasa peluang tahun ini untuk meraih pingat lebih tinggi. Tahun lalu, saya beraksi menentang pemain lebih berusia dan pengalaman mereka lebih banyak. Kini, saya lebih yakin," katanya.

Namun, apa yang lebih mustahak adalah dia mahu memberikan persembahan terbaik di Kazan bulan depan untuk meyakinkan jurulatih beregu lelaki, Paulus Firman, agar menyerapnya ke dalam skuad senior memandangkan ini merupakan tahun terakhirnya di peringkat remaja.

"Ranking memainkan peranan dalam susunan undian. Kalau lawan wakil China, ranking boleh buat saya mengelak mereka. Itu lebih bagus," tambahnya.
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen