Jurulatih badminton beregu wanita negara, Rosman Razak, menerima keputusan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) menolak rayuan untuk slot pemain ke kategori A dengan hati terbuka, sekali gus menyaksikan tiada wakil dalam acara berpasukan wanita dalam Sukan Asia 2018.

Beliau menganggap keputusan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk tidak menghantar pemain dalam kategori B adalah tepat berdasarkan kepada pencapaian tidak memuaskan ketika ini.

Bagaimanapun, jurulatih itu masih mempunyai wakil tunggal bagi acara beregu apabila Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean disenaraikan dalam kategori A sambil mengharapkan keputusan terbaik mampu diraih.

Rosman berharap pemain yang tidak dihantar ke Sukan Asia tidak berasa kecewa kerana kejohanan terbuka antarabangsa masih ada untuk mereka terus bersaing.

"Kami tidak perlu fikirkan apa yang telah berlaku. Apa yang penting adalah perkara seterusnya.

"Secara peribadi, saya menerima keputusan itu dan dengan keadaan beregu wanita sekarang, saya terima dengan hati terbuka," ujarnya.

Dalam masa sama, Rosman enggan sebarang kecederaan saat-saat akhir berlaku kepada mana-mana pemain menjelang Terbuka Malaysia yang bermula minggu depan, dalam usaha untuk kembali memperbaiki prestasi selepas aksi hambar dalam Piala Uber, 20-27 Mei lalu.

"Paling penting adalah mengelakkan kecederaan dan sentiasa bersedia. Gandingan yang diterapkan adalah perkara yang sangat utama ketika ini."