Bekas perseorangan badminton lelaki negara, Roslin Hashim, menegaskan insiden dua pemain profesional tempatan yang terpalit isu mengatur perlawanan adalah gara-gara sikap tamak mereka sendiri.

Nama dua pemain terbabit, bagaimanapun, masih belum didedahkan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) kerana bercanggah dengan perundangan.

Malah, Roslin, 43, menolak faktor kesempitan wang mendorong pemain-pemain itu terjebak dengan sindiket 'bookie'.

"Ketika saya bermain dulu, saya sendiri tidak pernah dengar isu sebegini.

"Kalau BWF mengambil tindakan sejauh ini, bermakna ini adalah sesuatu yang serius. Langkah BWF menggantung pemain terbabit adalah tepat.

"Mereka yang dikaitkan dengan isu ini dipercayai pemain profesional.

"Kalau isu gaji, saya tidak pasti. Kita tidak tahu berapa gaji mereka, apatah lagi bagi pemain yang berada di luar Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

"Mereka inginkan kemewahan dengan cara senang. Ini berkaitan untuk memenuhi nafsu mereka," katanya.

Mengakui bukan mudah untuk seseorang pemain itu terus aktif, lebih-lebih lagi pemain profesional, ini adalah kerana prestasi semasa mereka menjadi ukuran.

"Sukar buat pemain profesional, lebih-lebih lagi soal mencari penaja.

"Gaji tetap memang tidak ada, mereka bergantung kepada wang kemenangan kejohanan. Dari segi perbelanjaan, di situlah mereka harus bijak menarik penaja.

"Sebagai pemain, kami hanya fokus kepada perlawanan tetapi semua hadiah kemenangan menjadi milik pemain, bukan kelab.

"Cuma untuk menyertai kejohanan, kelablah yang akan mencari dana dan penaja," ujarnya.

Dalam masa sama, Roslin berpendapat hampir mustahil untuk pemain bangkit dalam kerjaya sekiranya terbukti bersalah.

"Susah, kalau diikutkan tindakan BWF adalah menggantung mereka seumur hidup," tambahnya lagi.