Nama Rexy Mainaky terus hangat dikaitkan dengan portfolio pengarah kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) tatkala kewibawaan beliau untuk mengembalikan gemilang skuad kebangsaan menjadi tanda tanya.

Bagaimanapun, Rexy sudah membuktikan bahawa beliau berupaya memikul tanggungjawab sebagai perancang utama Indonesia dan terkini, Thailand.

Tetapi, Malaysia memiliki tuntutan tinggi memandangkan prestasi semasa skuad kebangsaan tidak memberi petanda mampu untuk memenangi Kejohanan Dunia atau pingat emas Sukan Olimpik dalam masa terdekat.

Bekas beregu negara, Zakry Latif, bagaimanapun, berasakan Rexy tiada masalah untuk memainkan peranan itu berdasarkan kejayaannya bersama skuad beregu lelaki dan kemudiannya wanita pada 2005 sehingga 2012.

"Beliau merupakan seorang yang hebat, bukan sahaja kerana pernah melatih saya, malah mengemudi beregu lelaki dan wanita.

"Saya tahu daripada segi pengurusan, beliau mampu melakukan sesuatu untuk Malaysia.

"Beliau mampu melonjakkan semula prestasi pemain sebab beliau seorang yang mementingkan kesempurnaan.

"Saya berasakan barisan kejurulatihan akan menerima pandangannya.

"Beliau gemar untuk bekerja dalam suasana kekeluargaan.

"Beliau tidak suka bersikap pentingkan diri, sebaliknya lebih gemar menggunakan pendekatan berbincang," kata Zakry.