Remaja Terbuka Antarabangsa Malaysia: Jhy Dar-Roy King muncul juara 

Oleh Staff Writer 25 Ogos 2019 356
Remaja Terbuka Antarabangsa Malaysia: Jhy Dar-Roy King muncul juara 
Gandingan beregu lelaki remaja negara, Ooi Jhy Dar-Yap Roy King, menganggap corak permainan matang yang dipamerkan sedikit-sebanyak membantu mereka untuk meraih kejuaraan Kejohanan Badminton Remaja Terbuka Antarabangsa Malaysia 2019.

Dalam pertemuan di Kompleks Kejiranan Presint 11, Putrajaya itu hari ini, Jhy Dar-Roy King muncul juara selepas menundukkan rakan senegara, Justin Hoh-Mohd Fazriq Mohamad Razif, dengan kemenangan straight set 21-14, 21-14. 

Biarpun menang mudah ke atas lawan, pilihan kelima kejohanan itu mengakui agak tertekan untuk mengawal permainan. 

Kemenangan itu secara tidak langsung menebus kekecewaan mereka setelah terkandas seawal pusingan ketiga dalam edisi lalu. 

"Semalam, kami ada berbincang mengenai corak permainan lawan, jadi kami pun melakukan persiapan. 

"Hari ini, kami mengikut percaturan dan apabila mendahului, keyakinan kami semakin meningkat dan ia menjadikan permainan kami lebih bagus," kata Jhy Dar. 

Dalam pada itu, mereka menganggap kemenangan yang diraih sebagai pembakar semangat menjelang saingan Terbuka Remaja Antarabangsa India 2019, Khamis depan. 

"Rakan gandingan saya bakal beraksi dalam acara beregu campuran pula selepas ini, jadi dia perlu berehat untuk menghadapi kejohanan seterusnya. 

"Kami harap boleh buat yang terbaik di India kelak. Ssaya tidak bimbang dengan situasinya, saya percaya dia boleh bertahan (mengharunginya)," katanya lagi. 
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen