Skuad muda negara berpeluang menghadiahkan sekurang-kurangnya satu pingat emas menjelang aksi final Kejohanan Badminton Remaja Terbuka Antarabangsa Malaysia 2019 yang menemukan aksi sesama pemain Malaysia dalam acara beregu lelaki.

Malaysia sebelum itu mempertaruhkan gandingan Ooi Jhy Dar-Yap Roy King yang merupakan pilihan kelima akan berdepan wakil Indonesia, Asghar Herfanda-Rian Canna Varo.

Ia merupakan satu petanda positif memandangkan tahun lalu, tiada wakil beregu lelaki negara di pentas final, khususnya Jhy Dar-Roy King yang tersekat seawal pusingan ketiga dalam edisi 2018.

Tugas berat buat Roy King esok, yang dalam masa yang sama perlu bersiap sedia untuk menghadapi satu lagi aksi final dalam acara beregu campuran, selepas gandingannya bersama Gan Jing Err mengetepikan pilihan pertama dari Thailand, Sirawit Sothon-Pornnchia Suwatnodom, 21-15, 21-13.

"Pertarungan tadi sukar sebab lawan kami juga agak bagus.

"Mereka bermain dengan agresif, nasib baik percaturan kami menjadi," kata Roy King selepas aksi di Kompleks Kejiranan Presint 11, Putrajaya, hari ini.

Lawan mereka merupakan rakan sepasukan daripada kem kebangsaan, iaitu Justin Hoh-Mohd Fazriq Mohammad Razif, yang sebelum itu menumbangkan Ching Kaifeng-Loo Bing Fun dalam aksi tiga set 15-21, 21-12, 21-17.

Ia juga menebus kembali kekecewaan mereka setelah terkandas seawal pusingan pertama dalam edisi lalu.

"Kami baru berusia 15 tahun tetapi kini beraksi dalam kategori bawah 19 tahun. Kami tidak mahu fikir banyak dan hanya tumpu untuk berikan aksi terbaik," kata Justin.