Datuk Misbun Sidek berupaya membangkitkan semula pengaruh bakat muda negara tetapi dengan syarat perlu diberi kuasa penuh sebagai pengarah teknikal skuad remaja.

Reputasi Misbun dalam membangunkan bakat muda berpotensi sudah tidak lagi asing, namun ia juga membangkitkan persoalan adakah ia satu keputusan yang tepat selain apakah yang diperlukan jurulatih berusia 60 tahun itu dalam usaha melahirkan juara Asia dan dunia.

Bekas jurulatih perseorangan lelaki negara, Rashid Sidek, tiada sangsi mengenai langkah itu, namun meminta kerjasama semua pihak demi menjayakannya.

"Ia satu keputusan yang tepat memandangkan prestasi pasukan remaja ketika ini sudah tersasar jauh.

"Dengan kehadirannya, dia boleh tingkatkan kualiti dan prestasi pemain remaja.

"Saya harap prestasi mereka bangkit semula dalam tempoh setahun dua ini," katanya di Cheras hari ini.

Bagaimanapun, Rashid meminta semua pihak agar tidak menjangkakan kejayaan segera kerana segalanya bergantung kepada pemain itu sendiri.

"Saya kurang pasti (kejayaan dalam masa terdekat) tetapi dalam tempoh setahun dua, saya pasti beliau boleh melakukannya.

"Seperti yang kita ketahui, latihan di bawahnya agak berat. Terpulang kepada pemain-pemain boleh serasi atau tidak."



Editor: Shaiful Shamsudin