Bekas ketua jurulatih perseorangan badminton negara, Rashid Sidek, tetap dengan pandangan bahawa segala kemungkinan seperti kembali menjadi pemain no.1 dunia dan menamatkan penantian bergelar juara dunia masih ada buat Datuk Lee Chong Wei.

Menurut Rashid, faktor usia seperti tidak memainkan peranan besar bagi jaguh perseorangan negara itu dalam menangani cabaran mendatang.

Dia berkata persaingan perseorangan lelaki dunia pada tahun ini akan berkisar kepada muka sama seperti Chen Long, Lin Dan dan terkini, Viktor Axelsen, yang memainkan watak sebagai dalang kepada Chong Wei.

Jelasnya, Chong Wei kekal memiliki segala kemampuan menentukan takdir di gelanggang kompetitif, termasuk menamatkan kerjaya sebagai jaguh no.1 dunia.

"Bagi saya, ia masih realistik buat masa sekarang kerana dia memang masih lagi kuat daripada segi fizikal dan paling penting tiada kecederaan.

"Sekarang, dia lebih fokus kepada mengekalkan latihan dan rancangan perlawanan. Sedikit-sebanyak perlu ada perubahan. Selain daripada itu, ia bergantung kepada fokus dan komitmennya," kata Rashid.

Pada usia 35 tahun, Chong Wei juga semakin matang dalam menangani tuntutan kemahuan diri sendiri dan juga seluruh rakyat Malaysia.

Perubahan ini juga mampu menjadi pemisah ketara Chong Wei tahun ini berbanding sebelumnya seperti tewas tiga kali dalam final Kejohanan Dunia dan Sukan Olimpik.

"Dia tenang sebab tidak mahu orang memberi tumpuan kepadanya. Bila tumpuan terarah kepada pemain muda, dia nampak tenang sedikit.

"Mungkin dia boleh beraksi lebih baik lagi atau mendapat gelaran dunia pada tahun ini," ujar Rashid.

Chong Wei meraih perak dalam tiga edisi terakhir Olimpik, iaitu pada 2008, 2012 dan 2016 sementara dalam Kejohanan Dunia, pemain itu turut meraih naib juara pada 2011 dan 2013, dengan pingat perak pada 2014 digugurkan akibat isu doping.