Persatuan Badminton Malaysia (BAM) tidak perlu berasa terancam dengan pemain di luar program kebangsaan yang lebih menyinar dalam memastikan ketelusan pemilihan pemain ke kejohanan utama dunia.

Kemerosotan prestasi badminton kebangsaan, terutama skuad perseorangan, menawarkan petanda bakat yang dicari mungkin berada dalam kalangan pemain berstatus profesional.

Antara pemain yang menjadi buah mulut peminat badminton tanah air ketika ini adalah perseorangan Akademi Sports Affairs, Aidil Sholeh Ali Sadikin.

Terkini, status dia untuk mewakili Malaysia ke Kejohanan Remaja Dunia 2018 di Markham, Kanada, menjadi tanda tanya meskipun mencetus sensasi ke final Sukan Malaysia (Sukma) Perak.

Turut menjadi mangsa Aidil dalam Sukma adalah permata perseorangan BAM yang juga merupakan naib juara Kejohanan Remaja Dunia 2017, Leong Jun Hao.

"Daripada segi undian, Aidil dilihat hanya akan mara setakat suku akhir sahaja.

"Tetapi, Alhamdulillah dia tampil melangkaui jangkaan.

"Saya nampak perkembangannya daripada segi keyakinannya yang nampak lebih bagus.

"Tiada alasan untuk dia tidak menyertai Kejohanan Remaja Dunia," kata Rashid.

Aidil sebelum ini sudah menanggung duka disisihkan daripada kempen Kejohanan Remaja Asia 2018 di sebalik status sebagai juara Kejohanan Kebangsaan Bawah 18 Tahun.

"Saya akan menyertai Kejohanan Remaja Dunia jika diberi peluang.

"Apapun, pada 26 September nanti, saya akan mengikuti saingan Kejohanan Kebangsaan B-18 terlebih dahulu," kata Aidil.

Dalam perkembangan sama, Rashid tidak menolak untuk kelab profesional menjalin kerjasama yang lebih erat dengan BAM.

"Saya tiada apa-apa halangan jika BAM memerlukan Aidil.

"Kami sedia membantu dan kelab profesional bukanlah ancaman.

"Kami bersikap terbuka dengan BAM," kata Rashid.