Kejayaan menjuarai Kejohanan Badminton Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) memberikan lebih motivasi buat pemain remaja negara, Eoon Qi Xuan, untuk menghadapi kejohanan bawah 21 tahun di Pulau Pinang, minggu hadapan.

Turun selaku pilihan utama, Qi Xuan yang mewakili Perak turun berdepan wakil Kedah, Eng Sin Jao, dalam final perseorangan perempuan bawah 18 tahun.

Permulaan baik dilakukan Qi Xuan apabila mencatat kemenangan 21-11 dalam set pertama.

Rentak itu, bagaimanapun, gagal diteruskan dalam set kedua, lantas tewas 17-21.

Begitupun, dia kembali memperkemaskan rentak permainan apabila menutup pertemuan ini dengan kemenangan 21-14 dalam set penentuan untuk mempertahankan gelaran yang dimenanginya tahun lalu.

Lantas, ia menjadi medan pemanas badan terbaik buat dirinya menghadapi kejohanan bawah 21 tahun kebangsaan, dengan separuh akhir menjadi sasaran awal.

"Saya amat puas hati tetapi dalam dua perlawanan pertama, permainan saya kurang baik. Saya perlu perbaiki lagi.

"Minggu depan saya akan bertanding dalam bawah 21 tahun di Pulau Pinang, saya berharap akan mara ke separuh akhir," ujarnya.

Sementara itu, perseorangan lelaki bawah 18 tahun turut dikuasai pemain remaja kebangsaan, Chia Weijie.

Seperti Qi Xuan, Weijie, yang mewakili Kuala Lumpur, dipaksa bekerja keras dalam pertemuannya menentang pemain Sabah, Neville Baptist Nosius Luaran.

Set pertama menyaksikan Weijie ditimpa kekalahan 13-21.

Namun, dia tampil dengan permainan lebih tersusun untuk merampas dua lagi set dengan keputusan 21-14 dan 21-13, sekaligus melengkapkan hatrik kejuaraan selepas dia pernah menjuarai kategori bawah 12 tahun dan bawah 15 tahun sebelum ini.

"Dalam set pertama, aksi saya kurang baik kerana bermain di bawah tekanan. Permainan saya agak bertahan tetapi saya bangkit dalam set kedua dan ketiga," katanya.