Perlawanan peringkat terakhir SS Purple League (SSPL) 2017/18 yang bermula hari ini menyaksikan juara bertahan, Kelab Badminton (KB) Petaling Jaya, bangkit dalam aksi play-off untuk menang 9-4 ke atas KB Ampang Jaya, sekali gus meraih tiket ke separuh akhir di Arena Of Stars, Genting Highlands sebentar tadi.

Pasukan KB Ampang Jaya bermula baik dalam acara perseorangan lelaki selepas Tan Jia Wei mengejutkan pemain KB Petaling Jaya, Goh Giap Chin, untuk menang 3-0 (11-6, 11-7, 11-10).

KB Petaling Jaya, bagaimanapun, kembali menarik nafas lega setelah pemain perseorangan wanitanya, Supanida Katethong, menang 3-1 (11-8, 8-11, 11-10, 11-6) mengatasi pemain KB Ampang Jaya, Xu Wei dari China.

Seterusnya dalam acara beregu lelaki, KB Petaling Jaya sekali lagi memperoleh rentak kemenangan menerusi gandingan Chooi Kah Ming- Kim Gijung yang mengatasi pasangan Lukhi Apri Nugroho-Muhd Syawal Ismail, 3-0 (11-10, 11-7, 11-8). Kemenangan itu meletakkan KB Petaling Jaya di depan, 6-4, mendahului set mata keseluruhan.

Selepas itu, dalam acara beregu campuran, Kim Sarang- Lim Chiew Sin nyata tidak mengecewakan KB Petaling Jaya yang memerlukan kemenangan untuk mengesahkan tempat ke separuh akhir. Mereka beraksi cemerlang untuk mengalahkan Ch’Ng Choo Han- Ririn Amelia 3-0 (11-2, 11-8, 11-5), lalu membuka peluang kepada KB Petaling Jaya untuk mempertahankan gelaran SSPL sekali lagi.

Jurulatih KB Petaling Jaya, Yeoh Kay Lun, berkata, “Hari ini kalau kita lihat di atas kertas, kami adalah pasukan pilihan untuk mengatasi KB Ampang Jaya. Jadi, ia memberi tekanan kepada pasukan, namun pemain berjaya mengatasi tekanan itu, terutama pasangan beregu yang bermain dengan cukup baik tadi.

“Apapun, kita boleh lihat pemain perseorangan lelaki, Goh Giap Chin, gagal mengawal tekanan dan kalah dalam awal perlawanan.

"Selepas itu, saya menasihati semua pemain supaya jangan tertekan dan hanya memberikan aksi sebaik mungkin. Untuk separuh akhir esok, saya akui lawan kami, KB Puchong United, memiliki barisan yang kuat. Apapun, saya harap pemain memberikan tentangan paling sengit,” katanya.

Sementara itu, KB Kepong menumbangkan KB Petaling 11-8 dalam satu lagi aksi separuh akhir sebentar tadi, sekali gus bakal bertemu Cheras, esok.