Segala aspek dan faktor perlu dinilai sebaik mungkin sebelum proses 'pembuangan' mana-mana pemain oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dilakukan.

Banyak pertimbangan perlu dibuat agar pihak persatuan tidak salah menilai 'di antara kaca dan permata' yang sepatutnya terus berada dalam badan induk sukan itu.

Ketua jurulatih lelaki negara, Datuk Misbun Sidek, berkata sebagai jurulatih, beliau akan melakukan tugas sebaik mungkin dengan mempersiapkan pemain daripada segi latihan, persiapan ke arah kejohanan serta ulasan dan laporan kepada pengurusan.

"Kalau pihak pengurusan yang buat keputusan itu, kami kena akurlah. Tetapi kalau kuasa itu diberikan kepada jurulatih, mungkin jurulatih yang akan buat keputusan sama ada hendak direviu, ditukar ganti atau dirombak. Ia adalah lebih menjurus kepada pihak yang ada kuasa untuk buat keputusan.

"Pemain yang ada, contohnya yang tidak meningkat prestasinya selepas diberi tempoh beberapa bulan atau tahun tetapi tidak meningkat, itu harus dinilai dengan sebaik mungkin sebelum kami tukar, ganti kepada pemain yang lain," katanya kepada Bernama di Kangar.

Misbun kini bersama skuad badminton negara sempena Kejohanan Badminton Cabaran Antarabangsa Malaysia 2019 (IC) Dalam Dewan 2020 sehingga Ahad ini.

Beberapa pemain yang mempamerkan prestasi hambar tahun ini dikatakan tidak senang duduk apabila memikirkan sistem 'penyingkiran' akan dijalankan BAM hujung tahun ini.

Badan induk itu sebelum ini memperkenalkan Projek 24, iaitu satu pelan yang menyasarkan pingat emas Sukan Olimpik Paris 2024 selain menetapkan sasaran terhadap skuad negara mara ke final Piala Thomas.

Di bawah Projek 24 itu, antara perkara yang akan diberikan perhatian ialah penilaian prestasi pemain serta barisan kejurulatihan pada akhir tahun ini dan tidak teragak-agak untuk menggugurkan pemain sekiranya tidak mencapai Indeks Prestasi Utama (KPI).

Sementara itu, Misbun berkata fokus dan prestasi pemain mungkin terjejas bukan sahaja kerana memikirkan mereka mungkin disingkirkan, malah boleh terganggu kerana faktor lain seperti percaturan dalam kejohanan yang disertai.

Menurut legenda badminton negara itu, dalam usaha memburu mata ke Sukan Olimpik, penyertaan dan percaturan pemain boleh menjadi sebab kepada prestasi yang kurang baik yang menimpa beberapa pemain.

"Kalau kita tengok seperti sekarang ini, (pentas) IC tidak besar sangat tapi kita dapat lihat ramai pemain China turun, yang pelapis pun turun bertanding, begitu juga Indonesia. Jadi, kita boleh anggap ini adalah pertandingan yang ada taraf, pemain yang bagus pun turun (bertanding).

"Bagi kami, memang itulah tujuan buat pemain yang baru ini. Tiba-tiba mereka akan jumpa pilihan utama dalam pusingan pertama. Kami hendak menurunkan mereka sebagai langkah pendedahan tetapi mereka kenalah berdepan pemain terbaik," katanya.

-- BERNAMA