Sekiranya pengguguran atlet daripada Program Podium melibatkan beregu campuran negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing, ia ibarat satu kerugian walaupun hakikatnya prestasi mereka gagal mencapai tahap yang diharapkan akhir-akhir ini.

Hambar dalam Sukan Asia, mereka sebenarnya melewati proses pembelajaran yang cukup baik menjelang sasaran sebenar di Tokyo 2020 nanti.

Kian Meng dan Pei Jing ditemui ketika sesi latihan harian mengakui prestasi semasa mereka merudum akhir-akhir ini, selain hakikat mereka perlu konsisten untuk terus berada dalam kelompok program elit.

"Kami masih lagi berusaha untuk mendapatkan momentum terbaik. Kami akan cuba mencapai sasaran yang telah ditetapkan," kata Pei Jing.

Sementara itu, Kian Meng menganggap pengguguran mereka adalah berita yang menghampakan selepas tidak menyerlah di Jakarta.

Mahu tidak mahu, keputusan di tangan pihak terlibat dan kegagalan mereka mencetus aksi terpuji di Istora Senayan adalah punca utama dan hakikat itu terpaksa diterimanya.

"Kami mahu memastikan persembahan yang lebih baik dalam kejohanan akan datang supaya mereka akan menilai semula kedudukan kami dalam program itu," kata Kian Meng.

Terdahulu, kenyataan Pengerusi Jawatankuasa C&T Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Ng Chin Chai, nama kedua-dua pemain ini antara yang disebut bagi proses pengguguran daripada Program Podium.